TIPS MEMILIH KHEMAH

1. SAIZ KHEMAH

berapa besar baru boleh selesa?

Kaedah yang sering digunakan oleh pengeluar khemah secara puratanya adalah dengan memberi istilah ‘1 Person Tent’, ‘4 person tent’ dan seterusnya kepada produk mereka. Istilah ini adalah secara kasar menunjukkan kesesuaian penggunaan khemah oleh berdasarkan kapasiti memadai maksima iaitu dari sudut ukuran (berbeza antara pengeluar) ‘bahu ke bahu’ dengan saiz purata 1 orang dewasa.

GAMBAR 1 : Kaedah bahu ke bahu

Merujuk kepada Gambar 1 di atas. Ringkas di dalam ruangan petak khemah (jika ianya berbentuk petak), Khemah A adalah untuk kegunaan 1 orang, Khemah B adalah untuk kegunaan 4 orang, Khemah C adalah untuk kegunaan 2 orang. Manakala Khemah D adalah untuk kegunaan 3 orang.

Jika ingin ruang yang lebih selesa atau lebih banyak ruang untuk meletak barang, pengguna tersebut memerlukan saiz khemah yang lebih besar. Dan jika tiada masalah untuk berhimpit, pengguna boleh juga menggunakan khemah yang lebih kecil dari sepatutnya.

Seringkali, pengguna menjadi keliru untuk membuat pembelian khemah, lebih-lebih lagi oleh mereka yang mahu membawa keluarga (suami, isteri, anak-anak, dan lain-lain). Untuk hal ini, saya ingin mengesyorkan formula peribadi yang saya aplikasikan terhadap penggunaan saya dan keluarga seperti berikut;

GAMBAR 2 : Nisbah pengguna kepada saiz khemah

Sepertimana pada GAMBAR 2 di atas, saya meletakkan penggunaan keluarga saya yang mengandungi 2 orang dewasa (suami, isteri) dan 2 kanak-kanak (4 tahun, 1 tahun), memerlukan ruang sebanyak : 2(1.5) + 2 (1) = 5 men tent. Dengan ini, keluarga saya memerlukan MINIMA ‘5 men tent’ untuk kami rasa ‘selesa’ untuk tidur di dalam khemah.

Jika mahu lebih selesa dan luas, boleh lah memilih khemah yang mempunyai kapasiti lebih besar. Nak tidur terkangkang? Nisbahkan 1 orang kepada ‘3 person’.

2. KETINGGIAN

LEBIH TINGGI = LEBIH SEJUK
LEBIH SEJUK = LEBIH SELESA???
GAMBAR 3 : kepelbagaian ketinggian khemah

Sepertimana di GAMBAR 3 di atas, wujud perbezaan ketinggian di antara Bazoongi 8P dengan Deer Creek 8P. Dengan lebih tinggi khemah, bermakna lebih banyak ruang udara di sebelah dalam, lantas menambah baik kualiti pengudaraan di dalam khemah. ini secara ringkas, membawa maksud ‘lebih selesa’!

Tambahan, segelintir pengguna menggemari khemah yang tinggi kerana ianya memudahkan pergerakan ketika berada/berlegar di dalam khemah (tidak perlu tertunduk-tunduk). Ini khususnya untuk penggunaan wanita yang lebih selesa menukar pakaian di dalam tempat tertutup, dan juga pengguna muslim yang memilih untuk bersolat di dalam khemah.

Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa lebih pengudaraan = sejuk di kawasan bersuhu sederhana. bilamana pengguna menggunakan khemah yang sama di kawasan sejuk, suhu di dalam khemah juga akan menjadi sejuk!

Kiranya, kalau pergi berkhemah di kawasan yang biasa, memang sangat selesa dan sesuai menggunakan khemah yang tinggi. Namun, bila dikawasan yang bersuhu rendah (khususnya tinggi), lebih selesa menggunakan khemah yang rendah. ini untuk memastikan suhu tidak terlalu rendah di dalam khemah (berbanding khemah yang tinggi).

3. PENGUDARAAN KELUAR-MASUK

LEBIH BANYAK RUANG PEMBUKAAN = LEBIH PENGUDARAAN
LEBIH PENGUDARAAN = LEBIH SELESA?

Dengan iklim panas dan lembap di seantero Semenanjung Malaysia, pengudaraan khemah merupakan salah satu aspek penting untuk memastikan bahawa khemah tersebut selesa untuk dIhuni diwaktu pagi-tengahari agar tidak berasa rimas, panas, berpeluh dan berlengas. Antara tanda mudah untuk pengudaraan yang baik adalah bilangan pembukaan yang ada, iaitu pintu serta tingkap (dan juga saiznya!)

GAMBAR 4 : pembukaan pintu dan tingkap (jika ada)

Mengambil contoh GAMBAR 4 di atas, khemah Bazoongi TS5 dan Bazoongi Firefly kedua-duanya mempunyai pintu yang besar, yang menjamin pengudaraan yang sangat baik. Walaubagaimanapun, perbezaan ketara adalah pada model Bazoongi Firefly yang mempunyai kelebihan 2 unit tingkap di tepi kiri dan kanannya.

Ini menjadikan khemah Bazoongi Firefly mempunyai pengudaraan yang lebih selesa dan nyaman berbanding Bazoongi TS5. malahan, faktor tingkap ini membantu mereka yang mempunyai masalah Klaustrofobia (takut di tempat sempit/tertutup).

4. JUMLAH RUANG

1 ruang, cukup?
GAMBAR 5 : pembahagian ruang dalam khemah

Jangan terkejut kalau dalam khemah ada ruang tamu! Sepertimana GAMBAR 5  di atas, terdapat perbezaan ketara antara khemah Bazoongi Firefly dan Bazoongi Family Tunnel selain kapasiti penggunanya. Iaitu, jumlah ruangan.

Kebiasaannya, ruangan tambahan ini akan digunakan untuk dijadikan tempat letak barang dan tempat bersantai. Adakala, turut digunakan sebagai tempat tidur juga!

Bahagian ini, bergantung kepada corak penggunaan dan juga minat pengguna. Saya? saya suka longgok sekali semua peralatan asas di dalam khemah supaya tidak leceh untuk dikemas semula.

5. LAPISAN

kenapa selalu orang pilih yang ada 2 lapis?
GAMBAR 6 : lapisan khemah

Khemah yang mempunyai lapisan ke dua di luarnya seringkali dipanggil sebagai ‘double layer’. Contoh mudah adalah seperti GAMBAR 6 di atas bagi 2 model yang berbeza daripada jenama yang sama, iaitu Deer Creek.

Khemah yang mempunyai dua lapisan boleh meningkatkan kemampuan khemah tersebut melalui cuaca berangin dan hujan. Walaubagaimanapun, untuk sebuah aktiviti yang lebih ringkas (balik hari) dengan penggunaan yang sangat minima, penggunaan khemah ‘single layer’ adalah lebih digalakkan. Ini kerana saiz, berat dan pemasangan yang jauh lebih mudah berbanding yang ‘double layer’.

6. KEMAMPUAN KALIS AIR

macamana nak tahu khemah boleh kalis air?

Dah pakai khemah double layer? Belum tentu lagi khemah tersebut mampu untuk menahan air dengan baik. Kebiasaannya, pengguna boleh menilai melalui sukatan PU yang diberikan Bersama khemah tersebut.

Secara ringkasnya, dengan mempunyai nombor PU yang lebih tinggi, fambrik khemah tersebut akan mempunyai kemampuan untuk kalis air dengan lebih tinggi. Contoh mudah adalah perbandingan antara Deer Creek (double layer) 4 men tent yang mempunyai kemampuan PU 800 mm, dengan High Peak Nevada 5 yang mempunyai kemampuan PU 3,000 mm.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kemampuan bahan/material kalis air dan berkenaan dengan skala PU, boleh rujuk di SINI

7. BAHAN BINAAN BATANG KHEMAH

selain fabrik untuk kalis air, bahan binaan lain yang perlu diambil kira?
GAMBAR 7 : perbezaan bahan binaan batang khemah

Selain bahan binaan yang bakal diterjemahkan kepada kemampuan kalis air khemah, bahan binaan yang boleh diambil kira juga adalah batang khemah tersebut, samada diperbuat daripada Aluminum atau Gentian Fiber. Sepertimana pada GAMBAR 7 di atas, kalau nak ringan? Ambil aluminium. Kalau nak murah? Ambil gentian fiber. Mudah, kan?

SEMOGA BERMANFAAT!

jika anda mempunyai apa-apa soalan, boleh menghubungi saya secara terus di talian 012-7767426

atau melalui whatsapp ( www.wasap.my/60127767426 )



OUT
Badek gonzalez

PENAFIAN

Penulisan di atas adalah merupakan pandangan/perkongsian peribadi penulis. ianya tidak melambangkan pegangan/pemahaman core republic secara menyeluruh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *