APAKAH ITU PU RATING?


DEFINISI

PU tu apa? Pencetus Ummah ke? Sebelum kita pergi lebih jauh, PU bermaksud polyutrethane, dan ianya berada didalam kelas bahan sintetik. Namun, apa kaitan PU dengan hal ini?

Apa kaitan PU ni dengan bahan-bahan kegunaan kita macam khemah dan pakaian? PU ni adalah bahan yang di salut/sadur/tampal kepada fabrik /bahan untuk menambahkan kemampuan dan ketahanan, khususnya daripada unsur air.

Untuk proses ini, lapisan PU disalut kepada fabrik berkaitan. Lebih banyak lapisan PU disalut kepada fabrik berkenaan, akan membuatkan fabrik itu menjadi lebih kalis air dan kuat. Fabrik mungkin disalut dengan 1 lapisan atau lebih, bergantung kepada pengilang dan pengeluarnya. Walaubagaimanapun, teknik salutan PU tidak juga digunakan untuk semua jenis fabrik/bahan untuk hasil yang sama.

PU Rating pula adalah sebuah rating yang digunakan untuk menunjukkan nilai kemampuan fabrik untuk menahan dari kemasukan air pada 1 inci persegi permukaannya dalam masa 1 minit sebelum air mula menembusi fabrik tersebut


KELEBIHAN LAPISAN PU

  • Menambahkan kemampuan kalis air
  • Menambahkan daya tahan fabrik. Khususnya, daripada geseran ke atas fabrik.
  • Merupakan pilihan yang lebih ‘Mesra Alam’. Sememangnya, penggunaan PU tidaklah bermaksud ianya ‘baik’ untuk alam semulajadi. Namun, ianya merupakan pilihan bahan kimia yang paling tidak menggugat kelestarian pengguna dan alam sekitar.

KELEMAHAN LAPISAN PU

  • Lebih tebal lapisan PU, fabrik akan menjadi lebih berat. Hal ini akan mengganggu mereka yang menggemari konsep ultralight.
  • Lebih tebal lapisan PU, fabrik akan menjadi lebih tebal. Hal ini akan menyebabkan fabrik yang mempunyai lapisan PU yang tebal, akan kelihatan lebih ‘besar’ berbanding fabrik yang tidak mempunyai lapisan PU yang tebal.
  • Lebih tebal lapisan PU, fabrik akan menjadi lebih kurang bernafas. Walaubagaimanapun, telah wujud teknologi baharu yang membolehkan wap untuk tembus, namun mampu menghalang cecair dari melaluinya.
  • Lebih tinggi PU, harga produk akan semakin tinggi

BACAAN

GAMBAR 1 : BACAAN

Untuk skala ini, kebiasaannya dibaca seperti Gambar 1 di atas. Adakalanya, diringkaskan daripada “PU 1000mm” kepada “PU 1000” sahaja. Bergantung kepada kerajinan penterjemah berkenaan. Namun pada hemat saya, sebaiknya ditulis/diucap penuh agar tidak mengelirukan pengguna.


CARA UKURAN

GAMBAR 2 : CARA TEKNIKAL MENGUKUR

Berdasarkan Gambar 2 di atas, teknik yang digunakan untuk menetapkan rating adalah dengan cara sebegitu. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa PU rating ini tidak dikelola oleh mana-mana badan yang berdaftar dan ianya di buat oleh pengilang fabrik atau pengeluar produk. Bererti, ada kebarangkalian untuk PU rating yang diberi tidak sepertimana kemampuan sebenarnya apabila ianya datang daripada  jenama produk/fabrik yang tidak mempunyai sejarah yang boleh dipercayai.


BERAPA PU YANG SESUAI???

untuk hal ini, ianya bergantung kepada penggunaan masing-masing. berikut adalah contoh kemampuan tahap PU yang ada

  • PU 0mm
    • Fabrik/bahan yang mempunyai lapisan PU 0mm ni boleh dikatakan paling tidak boleh harap. Jangankan untuk tahan daripada hujan, ni kalau level fabrik kena air semburan bersin Pontianak pun, sudah boleh tembus. (Pontianak tak bersin, itu sekadar contoh sahaja)
GAMBAR 3 : KHEMAH BAZOONGI FIREFLY 6P TENT
  • PU 1mm – 999mm
    • Kelas ini boleh dikatakan sebagai asas untuk tebat air. Kalau terkena hujan lalu (jenis yang sekejap sahaja), fabrik sebegini akan dapat bertahan dengan baik. Walaubagaimanapun, bila sudah masuk fasa hujan lebat yang lama, pengguna perlu bersedia untuk basah didalamnya. Antara contoh barangan camping dengan kualiti seumpama adalah Khemah Bazoongi Firefly.
GAMBAR 4 : KHEMAH HIGH PEAK NEVADA 5
  • PU 1,000mm – 4,999mm
    • Untuk kelas ini, kemampuan fabrik untuk kalis hujan yang lebat adalah sangat baik. Walaubagaimanapun, ianya tidak akan mampu bertahan jika hujan lebat pada masa yang terlalu panjang, seperti di musim hujan. Antara contoh barangan camping yang menggunakan PU ini adalah khemah High Peak Nevada 5, yang mempunyai kelas PU, PU 3,000 mm.
GAMBAR 5 : JAKET BERJENAMA MAC IN A SAC
  • PU 5,000mm-19,999mm
    • Kemampuan fabrik untuk kalis air semakin meningkat, dimana ianya dianggarkan boleh bertahan dengan situasi hujan ribut yang berpanjangan. Walaubagaimanapun, hadnya tidak mampu menahan kekuatan air mengalir deras seperti air terjun. Antara contoh barangan camping yang mempunyai kelas seperti ini adalah jaket ‘packable’ jenama Mac In Sac yang mempunyai PU 7,000 mm.

  • PU 20,000mm – PU 39,999
    • Dengan kelas PU setinggi ini, fabrik/bahan boleh menampung kemampuan untuk bertahan bertahan daripada ditembak air yang kuat untuk jangka masa yang lama. Namun, bukan selamanya.

  • PU 40,000 dan ke atas
    • Kelas PU ini, boleh dikatakan sebagai kelas tertinggi kerana diperkatakan sebagai ‘fully waterproof’. Fabrik/bahan ini mampu bertahan dengan jangka masa yang sangat lama. Diramalkan, sebelum air Berjaya menembusi lapisan sebegini, fabrik/bahan tersebut perlulah rosak dahulu. Saya syak, ni tahap-tahap empangan air lah kot kan?

di harap perkongsian ini dapat membantu memberikan sedikit pemahaman kepada pembaca semua!

OUT

Penulis : Badek Gonzalez

PENAFIAN

Penulisan di atas adalah merupakan pandangan/perkongsian peribadi penulis. ianya tidak melambangkan pegangan/pemahaman core republic secara menyeluruh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *