TIPS: PENYELENGGARAAN PARANG TANTARI

GRIT BATU ASAHAN

Grit batu asahan adalah tanda ukuran untuk kekasaran permukaan batu asahan tersebut. Makin tinggi nombor ‘grit’, semakin halus permukaan batu asahan. Lantas, menyebabkan ‘potensi’ tahap ketajaman akan lebih meningkat. Walaubagaimanapun, tidak terlupa pula kepada faktor ‘masa’. Semakin tinggi grit batu asahan, semakin banyak masa diperlukan untuk asahan itu membuahkan hasil.

Gambar 2: batu asah Grit 800

Parang Tantari menggunakan bilah daripada jenis besi HCS 5160 (High Carbon Steel). Nombor grit yang disyorkan daripada pengeluar Parang Tantari adalah dengan ‘finishing’ daripada jenis Grit 600- 800. Contoh jenis batuan gred tinggi pada kapasiti Grit 800 adalah seperti Gambar 2 di atas.

Gambar 3: Kerosakan di mata parang

Jika terdapat mata yang ‘rosak’ sepertimana contoh yang terdapat di Gambar 3 di atas, sebaiknya ‘sumpik’ ini dibersihkan terlebih dahulu menggunakan Grit yang lebih rendah seperti 100 atau 300. Penggunaan grit yang lebih rendah akan menjimatkan masa untuk meratakan kawasan mata dengan secara kasar.

SUDUT ASAHAN

Sudut yang terlalu tirus boleh menghasilkan mata yang tersangat tajam. Walaubagaimanapun, ini akan menganggu kemampuan mata bilah untuk menahan hentakan akibat daripada pergerakan tetakan, lantas memudahkan mata parang untuk menjadi sumbing/sumpik/rosak.

Gambar 4: Sudut darjah asahan

Saranan dari pihak Parang Tantari adalah agar pengguna mengasah mata parang mereka pada sudut 20 darjah bagi setiap belah sepertimana pada Gambar 4. Mungkin, ianya tidak mampu menjadi tajam menghiris seperti pisau di dapur apatah lagi pisau sembelihan. Namun ketajaman ini sangat memadai untuk aktiviti menetak atau memancah. Dan pada masa yang sama, boleh menjaga ketahanan matanya.

KARAT

Disebabkan bilah besi Parang Tantari diperbuat daripada besi jenis HCS 5160, ianya boleh karat tanpa penjagaan rapi. Ini adalah antara sebab Parang Tantari yang dikeluarkan telah di syelek/minyak sebelum diberikan kepada pelanggan. Dan selepas digunakan, lapisan minyak/syelek ini akan terhakis dan  hilang.

Terdapat 2 cara untuk mengelakkan besi bilah daripada mudah karat, iaitu Saduran Minyak dan juga membuat Patina. 

Untuk saduran minyak, pengguna boleh memilih samada untuk menggunakan apa jua jenis minyak seperti WD40, minyak masak, minyak zaitun, minyak enjin, minyak Singer dan lain-lain. Kecuali minyak pengasih atau minyak dagu, mungkin itu sukar dan tidak boleh diaplikasikan. Hehe

Saya lebih gemar menggunakan minyak WD40 kerana bukan sahaja ianya mudah didapati, namun juga mudah untuk digunakan. Minyak WD40 akan disemburkan kepada bilah Parang tantari, dan kemudian akan diratakan secara fizikal menggunakan jari (disarankan menggunakan sarung tangah getah, atau berlapik). Kemudian, lebihan minyak akan saya lap menggunakan tisu (supaya tidak meleleh). Begitu juga dengan penggunaan minyak-minyak lain.

Gambar 5: Perbezaan pisau sebelum dan selepas patina

Patina itu apa? Seperti Gambar 5, bilah yang berada di atas adalah dalam keadaan yang asli dan berkilat. Manakala, bilah yang berada di bawah adalah bilah yang telahpun melalui proses ‘Force Patina’ dan kelihatan sedikit hitam/kusam. Apa itu ‘Force Patina’? sebentar nanti akan saya kongsikan.

Patina ni secara asasnya juga adalah sama macam karat, iaitu tindak balas dengan oksigen. Walaubagaimanapun, proses patina tidak sama dengan karat biasa kerana memerlukan elemen tertentu. Walaupun patina ini adalah ‘karat’, ianya adalah jenis karat yang tidak merebak dan meresap. Kiranya, selepas lapisan atas sudah di-patina, karat tidak akan berlaku di lapisan patina dan karat patina itu sendiri, tidak akan meresap ke teras bilah.

Terdapat 2 sumber patina. Iaitu, Patina Secara Semulajadi dan Patina Yang Dipaksa.

Patina Secara Semulajadi boleh dibuat mudah jika bahan yang digunakan adalah terdiri daripada unsur tembaga atau gangsa. Namun, untuk bilah Parang Tantari yang diperbuat daripada besi HCS 5160, proses patina semula jadi boleh diperkenalkan dengan menyadur permukaan menggunakan sumber asli, iaitu getah pokok. Hasil nya, permukaan besi bilah akan menjadi kelabu-hitam. Cara paling mudah adalah melalui meratakan getah batang pisang/betik kepada permukaan bilah. Atau, untuk lebih praktikal, boleh juga melalui penggunaan di kebun. Pancah selagi boleh.

Untuk Patina Yang Paksa pula, adalah dengan memperkenalkan bahan asid kepada permukaan besi. Untuk ini, teknik termudah adalah dengan merendamkan bilah Parang Tantari kepada air cuka epal yang panas. Saya sedikit tidak gemar dengan cara ini kerana saya secara peribadi, tidak berapa tahan dengan wasap yang dikeluarkan oleh cuka epal yang sedang panas kerana akan berbau sengit.

HULU KAYU

Gambar 6: Hulu parang yang diperbuat daripada kayu jenis Arang Bunga

Hulu produk Parang Tantari diperbuat daripada kayu jenis Arang Bunga, sepertimana pada contoh Gambar 6, corak hulu kayu ini akan diterima secara rambang. Untuk memastikan bahawa hulu jenis ini boleh bertahan lama, sebaiknya ianya sentiasa dalam keadaan kering dan tidak terdedah kepada pancaran matahari secara terus.

Dan apabila warna syelek hulu telah mula pudar disebabkan oleh penggunaan, sebaiknya hulu tersebut dicat semula menggunakan syelek atau apa-apa warna kegemaran anda (kalau kata anda minat warna Pink, maka, Pink-kan lah ia!). Ini adalah untuk membuat lapisan untuk mengelakkan hulu tersebut terdedah secara terus dengan air dan udara lembab, dan mempercepatkan kerosakannya.

Terkini, ada desas-desus dari bengkel bahawa pihak Parang Tantari akan membuat perubahan drastik kepada hulu parang mereka. Perubahan yang bagaimana? Itu tidak dapat kami pastikan. Namun yang pasti, semestinya kearah yang lebih baik.

Fuh! Dah tak sabar ni nak tengok model terbaharu!

SARUNG KYDEX

Gambar 7: Antara variasi warna sarung Parang Tantari

Kydex Parang Tantari sepertimana di Gambar 7 adalah dibina daripada thermoplastic. Senang nak faham, dikirakan ianya sebagai plastik juga lah. Cara untuk membersihkannya sama seperti mana-mana plastic yang ada. Sekadar perlu menggunakan air dan dilap kering sahaja.

Gambar 8: Lubang penyelenggaraan di sarung Kydex

Sepertimana Gambar 8 di atas, pengeluar Parang Tantari sudahpun menyediakan lubang penyelenggaraan di hujung sarung Kydex (bahaguan mata parang) tersebut untuk memudahkan pembesihan dalaman sarung, dengan cara menembak air kedalamnya daripada lubang memasukkan parang.

RUANG SIMPANAN

Selepas diselenggara, adalah disarankan untuk menyimpan Parang Tantari di ruangan yang kering, beraliran udara, teduh, tidak panas dan tidak terdedah kepada pancaran matahari. Unsur basah dan tidak berudara akan menyebabkan bilah parang menjadi lebih mudah karat. Unsur panas akan menjadi pemangkin kepada proses karat bilah. Manakala pancaran matahari secara terus juga akan mempercepatkan proses pereputan bahan-bahan produk Parang Tantari.

Jadi, adalah tidak disarankan untuk menyimpan Parang Tantari di dalam kereta sentiasa. Kerana ianya bakal terdedah kepada unsur haba (bilamana kereta diletakkan di ruangan terbuka dan terdedah kepada pancaran matahari). Lantas, mempercepatkan proses pengaratan dan pereputan bahan.

TIPS TAMBAHAN

01. Mata Sumpik/Sumbing

Jika terdapat kerosakan seperti sompek/sumbing, disarankan untuk memulakan asahan dengan Grit lebih rendah untuk permukaan lebih kasar. Antara grit kasar yang boleh digunakan adalah yang 100 dan 300

02. Parang Longgar

Selepas penggunaan yang kerap, puting parang yang ditanam di dalam hulu parang akan mula menjadi longgar disebabkan gam di bahagian dalamnya yang sudah mula tidak anjal/mereput. Sebaiknya, gam ini diganti secara keseluruhan.

Namun, desas-desus daripada bengkel Parang Tantari ada mengatakan bahawa rekaan hulu terbaru mereka bakal mengatasi masalah ini. Sama-sama kita nantikan!

03. Sarung Longgar

Gambar 9: Tips memperketat parang longgar

Selepas penggunaan yang kerap (lama), sarung Kydex akan mula longgar. Cara mudah untuk mengatasi masalah ini adalah dengan meletakkan getah seperti Gambar 9 kepada temin parang. Lantas, akan menambahkan kekuatan genggaman sarung kepada parang.

Jika tidak, anda boleh menghantarkan parang anda kepada pembuat sarung kydex yang ada, dan meminta mereka untuk memanaskan dan memperkemaskan pegangan Kydex kepada parang anda.


DI MANA NAK BELI?

kami ada menjual kesemua peralatan ini. jika anda berminat, boleh terus membuat pembelian di website kami. Atau jika turut mempunyai persoalan tambahan, boleh terus menghubungi saya di talian whatsapp di bawah ;

Parang Tantari: KLIK SINI / CLICK HERE

Parang Tantari Tactical: KLIK SINI / CLICK HERE

Batu Asah King Deluxe: KLIK SINI/ CLICK HERE

Whatsapp : KLIK SINI/ CLICK HERE

OUT


PENAFIAN

Penulisan dan perkongsian di atas adalah merupakan perkongsian ilmu, pengalaman dan pandangan peribadi penulis. ianya tidak mencerminkan pendirian dan pegangan Core Republic secara menyeluruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *