G 7-11: Cerita Aku

Author: Shafeeq Badek, CORE Republic

.. DIRINGKASKAN…

Di suatu lokasi nan masyur…

Lebih 12 tahun aku menyimpan kau dalam senarai hati,
Tidak berani pergi kerana kegerunan cerita diberi.

Bohong kalau kukatakan tiada impian aku kesana,
Aku manusia biasa yang pasti ingin mencuba.

Namun ku pendamkan rasa cinta,
Kerana yakin bahawa kita bakal bersua.

tatkala aku sedang mencari-cari wang untuk membayar baki,
Dihulurkan sebuah rezeki untuk perkhidmatan 3 hari.

Usaha diteruskan dengan penuh ketakutan,
Takut menjahanamkan kawan dan merosakkan badan.

Dan dengan izinNya
Aku Berjaya melawati puncaknya.
30 langkah terakhir merupakan yang terberat,
Kerana hati dan jiwa di sarat.

Nak diungkapkan dengan kata entah bagaimana,
Sekadar air mata dan esak yang mampu membuktikan cinta.

Keluarnya dikau daripada bawah bukan untuk ditawan,
Tetapi untuk menjadi guru kepada ilmu-ilmu jalanan.

Atau ini sekadar aku,
Yang berpandangan, berfikiran dan berkelakuan meraban.

… DIPANJANGKAN… (betul punya panjang)

alhamdulillah..

dengan titisan air mata, sebuah lagi puncak idaman telah berjaya dilawat. dan secara automatiknya dalam tiada sengaja, terlengkaplah “senarai gunung ngeri G7-11, 2006” aku.

kembali kepada awal zaman pengenalan kepada pendakian, aku mengenali nama G7-11 ini sebagai destinasi yang penuh gerun dan akan mencabar mental serta sudah pasti, fizikal pendakinya.

beberapa minggu sebelum pendakian, sahabat gunungku Zuhairi Zainal telah memberi tawaran untuk kerja tukang masak di ekspidisi tersebut. mengenangkan diri yang memang lama berbisik untuk kesana dan kemahiran memasak yang berkarat,aku ingin mencubanya.

pertamanya, aku memohon Permit Pelepasan Mendaki Rumahtangga Huluran 1 daripada kekasih hati, Eeda Fadzil untuk meninggalkan amanah aku secara sementara yang panjang, lebih-lebih lagi beliau baru dapat kerja baru di tempat yang sedikit jauh buat masa ini, dan perlu menguruskan anak kami secara sendirian. he he. permit dilepaskan! yahoo

cabaran bermula apabila pentarikhan ekspidisi yang menjadi sendat. 14-16 Feb, aku ke Gunung Yong Yap. manakala. ekspidisi ini adalah pada 18-20 Feb. aku ada sela masa tidak sampai 1 hari untuk bersedia dengan ekspidisi seterusnya. dan lagi sekali, dengan ihsan bantuan isteri, persediaan ration dapat disiapkan dengan cepat.

disebabkan sudah lama tidak lanyak fizikal, mendaki Gunung Benum menjadi mencabar bagi aku. keletihan Gunung Yong Yap. masih belum terubat, ditokok lagi dengan masa sendat hari perantaraan.

Setibanya di Surau Kampung Chalit (entah ya tak nama dia ni), kelihatan susuk badan masjid yang sedikit tua ini. Melambangkan suasana perkampungan yang jarang dilewati dan dilawati orang luar. Isyarat subuhnya hanya menggunakan pukulan beduk. Menangkap kalbu suasana aslinya.

BERMULA..

Pendakian pada hari pertama, aku sekadar menggalas bebanan ration berbentuk ikan secara utamanya. dan seperti biasa, dalam ekspidisi ‘ulung’, aku pasti akan berebut kuali dan menjadi kura-kura ekspidisi. lunchpack. yang sudah aku masak, kami nikmati di Puncak Simpang. entah benar atau tidak namanya. Di sepanjang pendakian, aku menjadi teruja sedikit kerana ‘Trail Impact’ yang ada di Gunung Benum, membuktikan bahawa kapasiti trafik pendaki adalah pada tahap ‘rendah’. Boleh kata, hampir gebu teruk trek dia. Lantas ini pantas mengkhayalkan mata dan minda dipersona suasana.

pendakian sedikit mengantukkan kerana rehat yang tidak berapa cukup. semenjak berbadan dua ni, aku dah tidak berapa kuat untuk sekadsr tidur 3-4 jam sehari. namun alhamdulillah, sampai juga di tapak perkhemahan pada waktu petang. apa nama campsite, aku dah lupa. kem angin? kem dingin? mandi angin? ah.. penat sangat, apa nama pun tidak ku ketahui.

perjanalan tersebut, kududuki di formasi tengah. sambil langkah berkelajuan sederhana perlahan, mata puas melilau mencari dan menikmati ketenangan. sekali-sekala, cuba mengangankan pembentukan formasi yang melahirkan nama ‘Banjaran Benom’. sebuah tajuk yang aku sekadar faham, namun cetek ilmu.

sesi memasak malam pertama hampir menjadi gagal masuk gaung. kerana otak dah lembab dan penggunaan masa yang tidak cukup. teratur. namun, alhamdulillah dengan bantuan Heri, siakap 3 rasa licin sehingga ketulang-tulangnya. yang muda juga bertambah-tambah nasinya.

SUMMIT ATTACK..

pada hari kedua, masa yang diigaukan menjadi realiti. penentu samada aku memilih untuk ke puncak atau tidak. dan sebagai sekadar tukang masak, aku bergantung sepenuhnya kepada line up ekspidisi. waimah aku ingin mencuba, jikamana ada yang memilih untuk tidak ke puncak, dengan rela aku akan duduk menemaninya. syukur, semua mahu mencuba!

selepas puas dibeduk Nasi Goreng Ikan Masin, kami pun memulakan pendakian. dan sebelum dimulakan, beberapa orang mengambil inisiatif mentapaw lebihan nasi goreng ikan masin tersebut. “biar lebih, jangan kurang”.

RahmatNya sudah pasti penuh dengan sebab dan rahsia. hujan mula turun dengan lebat selepas kami memulakan langkah. bagi yang mengenali denai Gunung Benum ini, pasti boleh faham akan implikasi hujan. lecak, licin, dan sudah pasti, TANGKAP BIAWAK!

diformasi tengah ekspidisi, hampir setiap masa aku sendirian. yang depan, terlalu laju untuk aku. yang belakang, tidak berapa jauh dari aku. naik. turun. naik. turun. naik. turun. tergolek. naik. turun. naik. turun. ajenaya bila nak sampai oi! jantung sudah serupa disko! namun, mata kekal meliar cuba mengamati flora berdasarkan altitud dan meliar mencari bukti formasi Banjaran Benom.

kami berkumpul sebentar di sebuah teduhan batu yang menyerupai gua. yang hadapan sedang menahan gigil badan sejuk menanti, yang belakang sedang menahan gigil lutut meneran pam badan naik pangok. sementara menunggu dua ini bergabung, ku gapai nasi putih berlaukkan ayam masak kunyit. aku ratah rakus sambil ternguap-nguap menahan ngantuk.

mengunyah dalam mengantuk. sempat juga aku tersengguk kerana tertidur ketika mengunyah. usai mencekik, aku pun mencapai sebatang Surya dan dinyalakan. 3 kali puntung terlepas dari jari kerana aku tertidur. ngantuk benar la tu rasanya. tak mengapa, kita acah gagah ja dulu. hisap kasi habis dulu.

setibanya di 1 puncak sebelum puncak sebenar, tuntutan sebagai manusia sudah mencapai maksima. nasib baik, kerana kelebaran permatangnya, dapatlah aku letakkan beg dan bertemankan parang, tisu dan botol air, pergi mensasarkan diri keluar denai dalam lebih 5 meter lalu menyorok dibalik pokok. sambil dada menghembus asap, sambil mata meliar melingkar mengawasi suasana, sambil memuaskan perut yang ingin menjalankan fitrahnya. kita kasi clear isinya.

lega!

aktiviti pendakian ke seterusnya dijalankan dengan penuh semangat baru dan keselesaan baru. macam biasa, 10 minit pertama sedikit menyeksakan. hilang nafas! barangkali usus sedang menyusun atur semula isipadu jirim jisimnya.

tidak lama selepas itu, terdengar suara rakan pendaki lain yang sedang berehat lantas menandakan puncak sekadar dihadapan. sempat juga melangkah cacing gergasi Benum tersebut. terperanjay hoi! panjang macam. anak ular! namun, tak sempat nak keluarkan kamera kerana hari yang hujan. biar pun telefon diperkatakan kalis air. aku orang miskin. kalau tak kalis, ajenaya nak pakai public phone.

ketibaan disambut rakan pendaki formasi hadapan dengan ‘high five’ di suatu kawasan lapang, tidak berapa jauh dari puncak. setelah lengkap semuanya bertepuk tampar dan shuffle raver, aku diizinkan ketua guide, Heri untuk pergi menjenguk ke puncak sebentar sebelum terus kembali ke tapak perkhemahan.

DRAMA.

bagi yang tahu, dari kawasan lapang itu ke puncak, tidak lah berapa jauh. dari langkah pertama meninggalkan Heri untuk ke puncak, hati dah berdetik, “lu jangan nak drama lebih la gemok”.

langkah-langkah ke puncak berberup tersebut aku rasakan lama. cukup 5 langkah, mata mula bergenang. sepertimana di Gunung Tahan tempohari, fenomena kenangan mengusik jiwa datang menjerkah.

memori silam zaman sekolah di Gunung Lambak. pemahaman dari penceritaan G7-11 tahun 2006. pengalaman bersama Kelab Rekreasi UiTM segamat di SAR oleh JPAM, senior UiTM, dan rakan beliau di Gunung Nuang, pengalaman meniti pengakhiran Gunung Tahan, mendam berahi Gunung Rayu. senior-senior dan junior-junior mendaki gunung UiTM Segamat. dihenjut sahabat baik, Aliff untuk mendaki Bukit Tabur, memori perkenalas dengan Kak Ros dan Rentas, memori pengenalan dengan geng Core dan Bagak, kegembiraan mendaki bersama sahabat-sahabat gunung lain yang tidak tertulis.

lagi 5 langkah ke berup, empangan sudah tidak tertahan. 13 tahun sekadar dia aku dengar, pandang dan kaji dari jauh.. deraian air mata mula mengalir dimuka gemok, hitam dan berbulu ini. sekali-sekala, yang mana terluoa untuk di lap, ianya menitis jatuh di puncak Gunung Benum. dengan raut bengis, aku cuba menahan sebak. yang entah kenapa. teresak-esak juga jadinya. puas aku ramas berup dan kakinya. ku amati tinggalan-tinggalan vandalisma yang ada. dan dengan kabur mata air mata, aku amati puas papan tanda puncak gunung tersebut.

kemudian, tibalah peserta ekspidisi dan bersorak keseronokan kerana berjaya tiba. sempat juga ditegur, “abang nangis ke?”.. anjir. ni dah habis tahan ni hoi. kalau aku lepaskan, mau kau ingat aku ni kena rasuk semangat sotong! dan kerana ego dan martabat rockers, gua pendam rindu itu. air muka, kena jaga maa.

selepas puas bergambar bersama rakan ekspidisi lain, permohonan untuk menjalankan tugas telah diluluskan oleh Heri. diberikan aku 2 rakan serba boleh, Hang Iqbal dan Hang Apek, untuk membantu aku didapur. kami diizinlan untuk bergerak dahulu untuk mempercepatkan proses memasak.

tanpa menanti mereka, aku terus mengorak langkah. ini kerana mereka berdua adalah bangsa-bangsa jalan atas pucuk daun. sap sup. sap. sup. 40 minit setelah dilepaskan, Iqbal dan Apek sudah berjaya tiba mengejar dan mula mengikut gerak aku.

pada waktu ini, aku mengantuk bukan main calang. sambil melayan pangok naik turun, ternguap-nguap. sekali-sekala, mata dan kepala terasa kebasnya. Sambil dicucuk rapat penuh sabar oleh Iqbal dan Apek, sekali-sekala fikiran tidak logik untuk minta mereka meneruskan perjalanan dahulu dan menyediakan sepertimana arahan. Namun, itu merupakan sebuah keputusan yang berbahaya untuk mereka dan juga aku bilamana kita berpecah dari amanah asal. Maka, dengan maaf, aku terus meneruskan langkah. Di awal Isya, kami pun tiba di tapak perkhemahan. Tanpa gelojoh , kami meluangkan masa 1 Surya untuk mempersiap dan memperkemaskan diri sebelum menjalankan tugas.

kerjasama yang diberikan dan antara Iqbal dan Apek, amat mengkagumkan. Mereka tidak mempersoalkan permintaan-permintaan dari aku. Apa yang diucap dan dihajat, mereka buat. Barangkali kerana berpaksikan objektif ‘kita bantu rakan dibelakang semampu mana kita’. Sungguh aku kagum melihat perilaku eksotik seperti ini. Kerana sifat ‘tidak mementingkan diri sendiri’ sering disalah erti dan disalah laku.

30 minit sebelum mereka tiba, kesemua makanan sudah tersergam siap sedia. Nasi putih, sup rempah daging, kopi o dan dadih telah disusun rapi berapitkan senduk-senduk, pinggan-pinggan dan cawan-cawan. Sistem pemberian makanan telah pun dibincang dan disusun supaya memudahkan pergerakan dan mempercepatkan pemberian makanan. Proses memasak memang sengaja diperlahankan sedikit kerana kami cuba melajak masa supaya rakan lain dapat menyantap dalam keadaan lauk panas-panas just nice. Syukur, mereka semua tiba didalam jangkaan.

setelah mereka tiba, Heri mencadangkan untuk menggoreng telur dadar. Tanpa berlengah, kami terus bermula buat Telur Dadar Gebu Gebas Aumbawab. Melengkap dan menyerikan lagi juada dikala barai-barai manja, sambil bermanja-manja bersama dalam sesi suap-menyuap dadih kelapa tangkap langit.

kenyang menghadap langit dan kembali tersenyum puas, lagi sekali kerjasama diberikan oleh rakan pendaki dalam membersihkan semula peralatan-peralatan memasak tersebut. Sambil menanti mereka membersihkan, aku mengambil keputusan untuk baring sekejap di tepi dapur untuk melepaskan Lelah sambil merokok. Tup tap. Aku menggigil. Rupanya, aku sudah tertidur sehingga jam 2 pagi. Melihatkan keliling yang sudah tersepi dan yang ada peneman sekadar Heri, kami bersama pekena lagi sebatang Surya sebagai penutup perbincagnan hari kedua. Heri main kasar. Baru separuh batang, dia sudah baring dan menyamar kayu api dalam keadaan tidur. Aku masih bersila melihat luar dan bersembang sorang. Melihatkan sekeliling yang sudah mula berperang dengkur, aku pun terjun tiruk kearah carrymat hitam.

NAK BALIK!

mata mula dibuka jam 5.00 pagi. Sambil menanti Subuh, sambil menyediakan dan mencari barang yang ingin dimasak pada hari terakhir ini. Rencana asal adalah untuk mengejutkan rakan-rakan yang sama flysheet untuk membantu dalam memasak. Namun, melihatkan mereka yang sedang enak diulit nikmat dunia, kubiarkan sahaja. Bukan senang, untuk mendapat rehat yang selesa.

menghampiri jam 7 pagi, melihatkan rakan pendaki ada yang sudah bangun dan hilang arah, kuseru untuk membantu aku di dapur sambil pekena baki dadih yang ada. Sedang pantas mereka memotong bawang dan lain-lain, aku menyusun gerak atur susunan masakan terakhir. Bersarapankan Spagheti Carbonara atas nasihat Bammoy dan bakal makan tengahari nasi putih berlaukkan cili acah giling ajaran Lombok.

perjalanan dimulakan sedikit lewat dari tentative, namun masih didalam jangkaan pergerakan. Kami sempat berhenti sebentar di Puncak Simpang (entah ya tak nama dia ni, aku hembus je). Sambil makan tengahari, sambil karoke lagi She’s Gone dan beberapa lagu rokers lain. Kiranya, macam petanda kepada orang belakang bahawa mereka sedang menghampiri kami yang sedang berehat. Semakin bersemangat mereka melawan pangok tersebut.

sesi menurun kali ini, memang paling funky sekali. Masing-masing bermalasan perlahan-lahan. Gurau senda disana-sini. Ditambah lagi dengan cuaca pagi yang baik, ianya menggamitkan lagi suasana. Menghangatkan perhubungan. Menguatkan persefahaman.

setelah selesai semuanya puas sudah bermandi membersihkan diri di sungai berdekatan drop point, sesi menjadi tong gas dibelakang pacuan empat roda pun dimulakan semula. Sesi balik ini, antara sesi powil paling kelakar bilamana Iqbal yang mempunyai sosok badan kurus dan tinggi lampai, terpelanting ke hulu dan hilir di belakang kenderaan. Sedangkan orang lain macam gegearan telefon sahaja, dia sudah pun terlantun-lantun. Ada juga sekali sehingga terduduk di lantai powil. Puas aku gelakkan beliau, diberikan satu teknik menahan. Dengna kaki panjang, dia tegakkan kaki dan memasak badan di bawah aku yang berduduk berhadapan dengannya. Nah! Terus ok tiada masalah padahal orang lain dah mula terlantun-lantun.

BERKEMAS

Sesi berkemas di surau tersebut berjalan dengan lancer. Sempat jua kami disambut dan bersua dengan penduduk setempat yang datang awal dan menanti maghrib. Mungkin disebabkan kurang lawatan dari pendaki gunung, perspektif orang setempat terhadap pendaki yang menumpang teduh di masjid ini, sangatlah positif.

Bukan sahaja disambut dengan senyuman, malahan sampah-sampah ekspidisi juga telah diambil oleh bilal masjid untuk diuruskan. Alasannya, boleh memudahkan kami yang bermusafir dari jauh dan tidak mengotorkan kereta kami. Sempat jua mendengar keluhan mereka berkenaan masalah air yang mungkin berpunca dari masalah paip atau apa yang tidak pasti. Malahan, dia turut meminta maaf kerana masalah air tersebut yang menyebabkan kami tidak dapat menumpang mandi. Dalam terkedu kerana tersentuh, hanya mampu kami mengukir senyuman dan mengucapkan terima kasih. Tidak cukup dengan itu, dipelawanya kami untuk membuat air panas menggunakan cerek, uncang dan gula apa yang ada di masjid untuk melepaskan lelah. Lagi, dan lagi, dan lagi, hati disentuh akan kelembutan susuk tua tersebut. Senyum tak lekang.

PARTY!

Seperti biasa dalam norma mana-mana ekspidisi di Malaysia, akan ada sesi penutup dengan makan-makan. Entah apa angin nya, rakan pendaki mengajak untuk pergi gigit KFC. Kami pun sekadar menurut dan membawa mereka ke KFC Raub untuk sesi makan bersama. Bilamana tiba, rupanya, salah satu rakan pendaki ingin belanja kami semua makan KFC! Mudah-mudahan, Dia lapangkan lagi rezeki kau, Black. Seperti mana kau melapangkan rezeki kami. Amin

selesai makan dan lawak gunung tak move on lagi, kami pun bersalaman dan mengucapkan selamat antara satu sama lain. Masing-masing mula bergerak ke arah peribadi masing-masing.

DUGAAN 1

Perjalanan dari Raub ke Kuala Lumpur agak tenang. Tiada kesesakan, tiada masalah. Namun, selepas kami keluar Tol Gombak yang sedang membelok ke arah MRR2, aku yang sedang memandu kenderaan melihat ada kelibat hendak melintas jalan! Dengan lafaz carutan, aku menekan brek secara firasat sambil bertentangan mata dengan yang ingin melintas tersebut

Kambing hutan oi!

Mujur, aku memang membawa kenderaan dalam keadaan santai tenang. Kereta sempat berhentai dan sekadar melanggar sentuh kambing tersebut. Sedang kembing tersebut terpelanting, mata pantas mengintai ke cermin pandang belakang. Alamak, ada kereta sedang mendekat laju. Kemudian, mata menangkap pergerakan di hadapan dan mata meleret ke arahnya. Kambing tersebut kembali berdiri dan seperti sedikit mengigil. Mungkin terkejut kena langar. Kembali, mata memantau kenderaan di belakang. Di kerongkong, sudah tersedia perkataan ‘brace!’. Entah kenapa aku masa tu nak menjerit dalam bahasa inggeris. Apa mungkin tak terjumpa dalam kamus bahasa melayu kepala time tu. Namun, digagalkan jeritan bilamana aku dapat menjagnkakan bahawa kenderaan belakang berhenti lebih kurang 1 kaki dari bontot kereta Iqbal.

pada masa ini, badan menjadi panik dan koordinasi tidak teratur. Aku cuba mencari ‘Hazard Light’ kenderaan, tetapi lencongan tersebut adalah berbahaya untuk berhenti. Namun, aku perlu ke kiri bahu jalan untuk mengamati kecederaan binatang dan kerosakan kenderaan (dikhuatiri radiator kenderaan, pecah).

di sedikit hadapan, kenderaan diberhentikan. Boleh dilihat ada beberapa penunggang motosikal sudahpun berhenti dan seolah mencari sesuatu. Namun, pedulikan mereka. Kami pergi memeriksa kerosakan yang ada.didapati, sedikit calar pada cat bumper, dan hood depan sudah sedikit terangkat. Ada satu lampu kecil belah kiri, pecah. Dan tiada lagi lain-lain kerosakan yang dapat dikesan.

Di dalam suasana itu, kami masing-masing dalam keadaan terkejut. Aku dan Eyjal terkejut sebab nampak dan langar kambing hutan. Si Iqbal, ingat bendalah tu adalah seekor rusa. Tapi, tak teruk la si Iqbal. Berbanding dengan brader motor yang datang ke kami dan kata “tadi kitorang nampak anak lembu, awak langar ke?”. Anak lembu ya. Rasa nak lestik je hidung kau.

Sudah banyak kali keluar masuh hutan. Sudah banyak tapak dan najis binatang dijumpai. Sudah sering mendengar bunyi-bunyian fauna menjerkah. Tapi, jumpa kambing hutan, nu ha dekat tepi MRR2. Chait.

DUGAAN 2

Selesai mengamati kerosakan, kami mula mengorak langkah kembali ke Core Republic untuk meletakkan semula barang-barang kelengkapan dapur yang digunakan. Setibanya disana, kami kembali mengamati kesan langgaran dan berbincang perihal kambing. Ukuran kambing lebih kurang bahunya setinggi paras lampu Myvi, panjangnya lebih kurang 3 kaki.

selesai mengambil barang untuk dibawa masuk ke kedai, terpacul soalan dari mulut Eyjal, “eh, motor aku mana?”. Tempohari, beliau telah meletakkan motor di tempat tersebut, dan juga lumrah untuk kami meletakkan kenderaan di sana.

Sah! Kena rembat!

Aku dan Iqbal menjadi tak betul kejap. Dalam 3 orang, si mangsa merupakan paling rilek sekali. Menceritakan jua bahawa ini pengalaman kedua beliau dicuri motor. Tak tahu nak kata macamana. Ya lah, kami ni bukan orang senang yang boleh tepuk tangan, dapat Ferrari. Tak pasal-pasal member tu jadi patah kaki. Semoga pencuri tersebut diberi hidayahNya, atau ditimpa balaNya.

Selepas sesi menenangkan minda dijalankan, kami menyambung perjalanan ke Balai Polis berdekatan untuk membuat laporan kehilangan kenderaan dan kemudian, menghantar Eyjal kembali ke rumah beliau. Kemudian, kenderaan dipacu ke rumah aku sebelum aku berpisah dengna Iqbal.

TERIMA KASIH DAN MAAFKAN AKU

Setinggi penghargaan ingin ku berikan kepada rakan pendaki dan guna sahabat yang memberikan kesempatan untuk aku menyertai dan berkhidmat di ekspidisi ini. Maafkan aku diatas kualiti makanan yang tidak menepati QC aku kerana karat yang masih tebal dalam akal hutan ini. Aku harapkan, kalian halalkan apa yang telah kalian berikan kepada aku. Jikalaumana dirasakan tidak adil, boleh la berhubung secara terus. Kita buat, sampai cantik akad halal menghalalkan antara kita. Jujur kata, banyak yang aku dapat dari ekspidisi ini

SEYOGIA YANG KUBAWA PULANG

Setiakawan.
walaupun majoriti padu, mereka akan menjaga rakan mereka yang tidak berapa larat tanpa mengungkit. Malah, sentiasa diekori dengan senyuman dan nasihat dari masa ke masa

Bantu membantu
Untuk menghadap sebuah ekspidisi yang sukar, sifat tidak mementingkan diri sendiri dan bantu-membantu akan memudahkan pergerakan bersama. Ini dilihat bilamana peserta akan sentiasa memberi kerjasama bilamana menerima arahan daripada sesiapa sahaja. Semuanya ringan tulang!

Berbudi bicara
Pengajaran ini dapat kulihat dari situasi di surau tersebut. Pendaki gunung disambut terlebih baik oleh penduduk setempat. Dan mungkin kerana pendaki gunung kurang membuat ‘salah’ di surau kelolaan mereka. Layanan yang diberikan membuatkan tetamu menjadi malu tersipu-sipu kerana terlalu membantu.

Tenang is good
Waimah Iqbal kereta kemek aku langgar kambing. Waimah Eyjal kehilangan motor. Mereka mempunyasi sifat ‘tenang dan cari penyelesaian’. Aku yang paling gelabah sekali oi! Bila kau panik, keputusan kau pasti akan tak tepat. Bila sedikit tenang, akan memilih keputusan yang paling ‘optimum’.

GAMBAR TERPAKSA KUPILIH YANG INI. MENUTUP MATA YANG MELELEH KACA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *