Penerangan Penggunaan: SUBITO

Author: Shafeeq Badek, CORE Republic

PENERANGAN PENGGUNAAN: SUBITO

Melalui perbualan dan perbincangan semasa dengan pengguna-pengguna Subito yang ada di dalam arena pendakian gunung Malaysia, telah terdapat beberapa salah tanggapan oleh pengguna terhadap Subito ini. Melalui gambar-gambar berikut, saya senaraikan sedikit pencerahan untuk membaik-pulih tanggapan dan mungkin perbetulkan konsep penggunaan.

1. SUBITO ADALAH THERMAL POWER SLEEPING BAG LINER

Tertera jelas diatas badannya yang menulis “Thermal Power – Single Sleeping Bag Liner”. Bagi mereka yang tidak biasa mendengarnya, telahpun wujud terma ‘Sleeping Bag Liner’ dimana peralatan sebegini bertujuan utama berkaitan kebersihan. 

Dipermudahkan, berapakah frekuensi penggunaan sleeping bag dan berapakah frekuensi kita membasuhnya? Mungkin, 10 trip baru sekali basuh. Ataupun, dah berbau pelik, barulah ianya dibasuh. Bererti, wujud resapan kotoran seperti lumpur, darah bekas pacat, bau minyak masak, minyak urutan, peluh jantan dan barangkali, wap kentut. Dan pembasuhan kerap terhadap sleeping bag mampu menyebabkan materialnya rosak dengan lebih cepat. 

dengan pemakaian Sleeping Bag liner, proses pembersihan peralatan lebih mudah dijalankan apabila kotoran-kotoran tersebut akan melekat pada liner terlebih dahulu. Proses pembersihan liner ini juga akan berlangsung dengan proses yang jauh lebih mudah kerana saiznya yang jauh lebih kecil.

2. MENGELAK DARI GIGITAN SERANGGA

Di sesetengah tapak perkhemahan yang suam-panas, penggunaan sleeping bag pasti amat menyeksakan. Namun, kehadiran sahabat hutan yang bernama agas, pasti dinanti-nantikan. Gigitannya boleh menghasilkan kegatalan yang mampu menyebabkan pendaki tidak tidur malam.
Di suhu yang sedemikian, liner seperti ini sudah pun memadai dipakai dan sudah memadai untuk mengelakkan serangan serangga-serangga berkaitan.

3. PENGGANTI SLEEPING BAG

Untuk iklim kita terutamanya di Kawasan altitud rendah, suhu di waktu malam tidaklah berapa sejuk kerana sistemnya yang mampu memerangkap haba yang dikirakan sudahpun memadai. Waimah ditempat tinggi, jika dikenakan dengan dispilin penggunaannya, ianya sudah dikirakan memadai. 
Secara peribadi, saya sudah menggunakan Subito di keseluruhan ekspidisi (waktu komersil) G7-11 di semenanjung Malaysia. Ini bukan sahaja meringankan beban barangan asas, malahan menjimatkan ruang didalam beg. 

Untuk ekspidisi di luar semanjung Malaysia, saya sudah menggunakannya di Gunung Murud. Dan menjadikan Subito sebagai peralatan sokongan semasa ekspidisi di Gunung Kinabalu dan di gunung-gunung Indonesia.

4. MENAMBAHKAN SUHU YANG TERPERANGKAP

Sleeping liner ni, mereka bukanlah macam matahari yang memancarkan haba. Tujuan mereka adalah untuk memisahkan badan pengguna daripada unsur sejuk luar, dan pada masa sama untuk memerangkap radiasi haba badan di dalam kepompongnya. 

penggunaan liner ini boleh dikirakan menambah lapisan penebat kepada proses pergerakan haba badan ke luar, lantas melambatkan proses kehilangan haba. Jadi secara mudahnya, makin banyak/tebal lapisan penebat yang mampu diwujudkan, maka makin lama lah kita mampu ‘menghalang’ kehilangna haba tersebut. Lantas, membuatkan kita rasa suam/panas. 

teknik pemakaian saya adalah dengan memakai satu lagi liner di bahagian dalam Subito ini, samada cotton liner atau Silk Liner. Dengan kemajuan teknologi, wujud juga liner yang mampu memerangkap lebih banyak haba berbanding liner lain. Namun sudah pasti, lebih baik barang tersebut, makin tinggilah harganya. Harga liner dalaman ini bermula dari RM 60 sehinggalah yang hampir mencecah RM 400.

5. DISIPLIN PENGGUNAAN LINER SAHAJA

Wujud pertikaian bilamana ada yang mengatakan Subito ini tidak sesuai digunakan di kawasan yang lebih tinggi. Ini kerana diperkatakan bahawa gabungan Subito dan inner liner (Cotton/Silk/Polyester) gagal berfungsi sepertimana yang diceritakan lantas membuatkan penggunanya masih dalam kesejukan. 

untuk hal ini, rakan pendaki haruslah terutamanya mendalami dan mengamalkan disiplin lain yang berkait dengan tajuk Hypothermia. Kenapa Hypothermia pula secara tiba-tiba? Hypothermia = Sejuk. Pakai sleeping bag/liner, untuk tidak sejuk. Jadi, pengguna juga perlu terlebih dahulu peka dan mengkaji bab ini (Radiation, Conduction, Convention, Evaporation). 

Kesilapan pertama datang daripada pemakaian pendaki tersebut. Kelengkapan seperti baju lengan panjang, seluar panjang, sarung kaki, sarung tangan dan penutup kepala tidak seharusnya diabaikan. Malahan, untuk lebih berkesan, jenis bahan/material pekaian ini juga harus dititik beratkan supaya pengguna dapat memerangkap lebih banyak haba. 

Kesilapan kedua adalah daripada sudut binaan khemah tempat mereka berteduh, khususnya bagi mereka yang menggunakan konsep fly-sheet atau open-tent. Kesilapan bermula apabila sebelum tidur, ‘tingkap fly’ dan ‘pintu fly’ dibiarkan terbuka sepanjang malam. Ini akan membuatkan anda sekadar berbumbungkan fly-sheet, berlantaikan ground-sheet, dan berdindingkan angin yang lalu. 

Tingkap fly saya ungkapkan adalah merujuk kepada ruangan kosong antara penjuru fly-sheet tepi (ukuran panjang) yang ada. Manakala pintu fly adalah akses utama masuk-keluar fly tersebut. Berdasarkan pemerhatian, semakin besar ruangan kosong ini, semakin banyak angin boleh datang melintang dan membawa haba anda pergi lagi dan lagi.

teknik yang biasa saya buat untuk mengurangkan masalah ini adalah dengan menghadang tingkap-fly dan pintu-fly tersebut. Tingkap fly biasanya akan ditutup dengan Beg Ikea (terisi peralatan bebas) dan juga rucksack yang sudah dibungkus kemas. Manakala pintu pada kebiasaannya, saya akan menggunakan poncho saya (bukan jenis pakai-buang) dan saya mengkepilkan bersama flysheet menggunakan clip.

6. SUBITO UNTUK JANGKA MASA PANJANG

Melalui pengalaman peribadi, saya sudah menggunakan Subito dengan disiplin yang berkaitan dengannya, di ekspidisi Trans Titiwangsa Versi 2 yang memakan masa 8 hari. Kami tidak mengalami sebarang bentuk kesejukan, waimah di Kem Junction. Barangkali kerana cuaca tidak hujan di sana, lantas tidur malam pun selesa sahaja. Namun, disini sahaja rekod pemakaiannya yang saya ada. Tidak pasti samada ada rakan-rakan yang pergi ke ekspidisi yang lebih panjang seperti V3 ada memakainya atau tidak. 

Namun mengikut logik, penggunaan set disiplin Subito akan mengerahkan badan anda untuk menjana haba lebih sedikit berbanding penggunaan dengan Sleeping Bag biasa. Dan untuk ekspidisi yang panjang atau mereka yang berbadan kurus kering, seeloknya memakai sleeping bag sahaja. Lebih janaan haba = lebih banyak membakar tenaga. Ini adalah untuk mengelakkan proses ‘body cannibalization’ dimana protein otot akan dileraikan untuk menghasilkan tenaga.

7. KELEMAHAN SUBITO

PERTAMA. pada sebuah takat sejuk lampau, saya yang berbadan besar ini juga akan menggigil kesejukan. Ini berbeza dengan sleeping bag yang digunakan kerana sleeping bag berpenebat jauh lebih tebal dari lapisan liner-liner yang saya gunakan. Keadaan ini terbahagi kepada dua, samada yang pertama: suhu sejuk mendekati subuh. Dan yang kedua: cuaca sejuk melampau. Untuk yang pertama, biasanya akan terus bangkit dan bersiap untuk menghadap hari pendakian. Dan kalau terkena yang kedua, saya akan menambahkan lapisan lagi di luar set Subito saya, iaitu menggunakan plastic sampah. 

KEDUA. ianya tidak sesuai bagi mereka yang tidak memahami dan mempraktikan ilmu elak hipotermia. Contoh keadaan, bilamana sampai sahaja di tapak perkhemahan, pendaki itu menolak untuk makan malam kerana terlalu letih dan ingin terus tidur di dalam liner mereka. Dari mana haba nak datang? Dari doa semata?

KETIGA. Pada pengamatan saya, saya meletakkan bahawa Subito Liner ini adalah sebuah produk yang tidak mempunyai ketahanan lama. Kemungkinan dengan kekerapan penggunaan yang tinggi, merosakkan lapisan-lapisannya lantas membantutkan keberkesanannya. Buat masa ni, Liner-liner saya masih dalam keadaan elok. Ini hanyalah anggaran semata. Yang saya gunakan, masih utuh sehingga hari ini.

KEEMPAT. Pada pengalaman saya. Subito ni, disebabkan bungkusan yang tidak berapa besar dan warna yang sama, ianya berkemungkinan hilang/tersalah ambil bilamana digunakan di tapak perkhemahan. Berlainan dengan sleeping bag yang datang dalam pelbagai warna dan corak, liner Subito ini adalah terhad menggunakan bahan, warna adan size yang sama. Silap-silap, kalau semua pakai, nak kejut pagi pun boleh jadi salah kejut orang

AKHIR KATA, SUBITO BUKANLAH SEGALANYA. DENGAN MENGORBANKAN SEDIKIT KESELESAAN , ANDA AKAN MENDAPAT KENIKMATAN MELALUI PENJIMATAN RUANG DAN BERAT. JIKA ANDA MENGUTAMAKAN KESELESAAN TIDUR UNTUK JANGKA MASA PANJANG, ATAU TANPA MAHU MENAMBAH BAIK PERALATAN ATAS FAKTOR KEWANGAN, ANDA HARUSLAH TERUS MENGGUNAKAN SLEEPING BAG.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *