Bertiga di Tasik Gunung Serudum

Author: Shafeeq Badek, CORE Republic

Diari Travelog: bertiga di tasik Gunung Serudum

AMARAN: penulisan ini sangat panjang kerana ianya cuba digambarkan penulis berkenaan keistimewaan Gunung Serudum + Tasik + Bukit Bekelah + Air Terjun Bekelah sepertimana dari perspektif penulis. Kalau nak aku lukis kesimpulanya, bak sini RM 13,000. Muah
….
Pada mulanya, kami bersebelas merancang untuk ke Gunung Tahan (Merapoh-Kuala). Namun apabilatiba, kami ditahan dari mendaki kerana terdapat kemalangan nyawa (kepala air) di bahagian Merapuh. ekspidisi ini tergantung selama dua hari dimana kami sekadar berehat di hadapan pejabat dan makan ration apa yang ada. Setelah masuk hari ke dua, info terkini memaklumkan yang jalur pendakian masih belum dibuka. Dan apabila mendapat berita ini, peserta dan gogo telah sepakat untuk membatalkan ekspidisi. Alhamdulillah, kenderaan yang ditempah sudi mengambil kami di Merapoh tanpa bayaran tambahan dan menghantar kami pulang ke Kuala Lumpur.
Didalam van, pelbagai bentuk perbincangan diadakan. Ada yang berangan untuk ke Gunung Stong. Ada yang sekadar mahu pulang dan bekerja dengan membatalkan cuti tahunan yang telah di ambil. Namun, tiga orang dari ahli ekspidisi masih kental nak masuk hutan. Atas alasan cuti tahunan yang semula jadi masih banyak, kami masih mahu untuk ‘masuk hutan’.

Namun, bukan mudah untuk bergerak ke tempat yang “padu” tanpa susunan awal. Pelbagai cadangan tempat telah diambil kira. Namun terbatas kerana kesesakan jalan dan kesuntukan masa. Dan pada tika itu, juga bersemangat untuk menggunakan kemampuan fizikal yang sudah dipersiap untuk menghadap keindahan Gunung Tahan M2K. dalam ketermenungan, terpacul idea dari mulut Anip, “kita pergi Gunung Serudum sampai tasik, 3 hari 2 malam, nak?”. 
Ekspidisi Gunung Serudum + Tasik sekadar aku sedar setahun sebelum itu. Dikirakan sebagai lawatan semula oleh rakan-rakan pendaki. Namun pada sesi ini, aku tak dapat menyertai mereka-mereka kerana rencana yang secara tiba-tiba dan ditengah minggu. Mau kena pijak dengan boss kalau minta cuti 3 hari secara tiba-tiba. Dan rakan pendaki dalam ekspidisi ini merupakan sahabat pendaki yang kekal berhubungan baik sehingga kini. Menambahkan lagi nilai nafsu estatika!

Tambahan pula, diperkatakan (melalui penulisan geng-geng gunung) bahawa pada zaman dahulu, Sultan Pahang bersemayam di istananya yang terletak di daerahPekan. ketika ingin memungut cukai hasil di daerah Sg. Lembing, baginda akan menghantar wakil mendaki G. Serudum melalui Sg. Berkelah dan wakil dari daerah Sg. Lembing pula pergi ke puncak G. Serudum melalui Sg. Ruil dan mereka bertemu di puncak G. Serudum. Banyak kan nilainya di situ?

Kembali kepada cerita asal…

Masih teringat aku dan Leya melonjak seronok! Kebetulan ianya memang dalam wishlist kami pun untuk ke sana. Kerana sebelum ini, ada 2-3 ekspidisi ke Gunung Serudum aku tak dapat ikut kerana masuk Marathon dan hal-hal lain. Dalam van kami terus kecoh berbincang sesama sendiri akan pergerakan, logistik dan mengemaskini log yang ada di dalam tangan. Kami bertiga bukan main ghairah lagi. Dari mana datang log pun aku tak ingat. Keputusan dibuat untuk bergerak ke Maran menggunakan kereta Anip. 

Namun sebelum itu, kami singgah dulu ke Lata Hammer. Kebetulan Kedai Bagak (yang kini dikenali sebagai Core Outdoor Shop) ditutup, staf dan tauke kedai kita bawa masuk hutan. Mandi-mandi sekejap. Kenapa ke Lata Hammer pun aku tak tahu juga. Tapi disebabkan masing-masing sedang bebas bercuti, apa sahaja yang disebut, kita kasi jadi. Puas main air, terus masak-masak BBQ. Dan terus tidur beralaskan ground dan berebut flysheet. Malas nak pasang flysheet. Inilah dia yang terjadi bila pergi dengan kawan-kawan baik. heheSelepas selesai satu malam di Lata Hammer, kami pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya

Setibanya di Kuala Lumpur, Anip dan Leya berpecah untuk kembali ke rumah masing-masing untuk mengubah setup bag mereka. Memandangkan ekspidisi 3 hari seramai 3 orang sahaja, tidak perlulah untuk membawa beg 60 liter ke atas. Namun, disebabkan beg yang aku ada Cuma 65 liter ni (yang paling kecil), aku sekadar menanti di LRT Gombak. Dan disini juga lah Anip pergi ambil kereta dia. Sementara menanti, aku ambil ration dari group Tahan yang ada didalam jagaan Cik Man. Memandangkan ekspidisi batal, ration telah Cik Man offer kepada semua peserta. Setelah tiada yang nak ambil, aku pun ambil lah setup makanan untuk menu-menu kami. Ayam, daging, ikan. Lengkap semuanya. 

Setelah siap berkumpul di tengahari, kami terus bergerak ke Maran. Dan didalam perjalananlah aku terus menghubungi Abang Lori untuk bertanyakan samada beliau boleh hantar kedalam pada keesokannya, dan beliau bersetuju. Separuh jalan ke Maran, dalam kereta, kami tiba-tiba terfikir “baik kita shoot je malam ni, tidur dekat Kolam 7. Esok, takda la buang masa 2-4 jam nak ke kolam 7. Sebab 3-3 bangsa berendam ni” dan mereka bersetuju dengan pantas sambil tergelak. Ya lah, kalau silap, mau jadi ekspidisi Air Terjun Bekelah 3 hari 2 malam kang. Anasir ni kena jaga! haha. Lagi sekali, aku menghubungi dengan Abang Lori menyampaikan hajat untuk dihantar pada petang ini juga, “korang biar betul? Gelap kang nanti. Korang berapa ramai?” ujar Abang Lori. “kami bertiga je bang. Nak pergi Serudum belakang tu. Malas masuk esok pagi, takut tiruk banyak sangat sampai pewai, tak jadi pula kang” balasku memujuk. “ok lah. Kalau tak ramai, kira ok lah. Kalau bawa peserta, tak elok jalan malam” balas Abang Lori tanda setuju. Kebetulan aku dalam dua tiga bulan sebelum memang kerap keluar masuk Air Terjun Bekelah dan salah satunya mengutip sampah, mungkin Abang Lori bertambah keyakinan untuk melepaskan dan bersetuju dengan permintaan. 

setelah tiba di Maran, kami parking di rumah Abang Lori. Jam menunjukkan waktu baru 4.30. ada 30 minit untuk kami packing. Setelah sepantas mampu ration diagihkan, aku dapati, beg Leya dan Anip yang sama-sama 40/45 liter telahpun penuh sarat. Manakala beg aku terpaksa full load extend sampai 75 liter (silap-silap lebih). Apa yang dibawa entah, malas dah nak fikir. Waktu ni, kepala Cuma nak sampai di kolam 7 sebelum gelap. 

Tepat jam 5.30, kami tiba di pintu masuk Air Terjun Bekelah. Dan perjalanan diteruskan tanpa warming up. Kami tiba di Kolam 7 sebelum jam 7.30. kerana seingat aku, jam 7.30, fly dan ground sudah siap dibuka dan proses memasak makanan malam sudah bermula. Disebabkan kami mendaki pada hari ‘orang bekerja’, maka tiada penjelajah lain yang melakukan ekspidisi ini. Suasana tenang melayan air terjun. Dalam tenang, ada garang. 

Disini terjawablah kenapa beg kami full load sedangkan kami sekadar bertiga. Flysheet, ground sheet adalah untuk kapasiti 10 orang. Dan, ration seperti ayam (sekali masak) adalah untuk 15 orang! (Cik Man memang sediakan ration lebih sebab tema kami ke Tahan adalah makan-makan). Aku ambil 5 main course, bermaksud, ration ayam/daging/ikan untuk 15 orang sebanyak 5 set. Namun, disebabkan sayang kepada lauk yang jika ditinggalkan hanya sekadar membusuk, kami bertiga berusaha pulun habiskan lauk. Tak pernah makan lauk sebanyak tu. Adui

esoknya seawall jam 7 pagi kami sudah bersiap dengan sarapan dan bungkus makanan tengahari. Tanpa berlengah, kami memulakan langkah menghadap dugaan pertama, menghadap pacak Bukit Bekelah. Dari Kolam 7, boleh disangkakan yang Bukit Bekelah sekadar sekangkang kera. Jauh panggang dari api! Naik punya naik, tak sampai-sampai. Pada tika ini, aku adalah yang paling tidak fit kalau dibandingkan dengan Leya dan Anip. Ada juga Anip offer untuk tukar beg sebab bebrapa kali aku minta nyawa dari mereka dengan rehat dan memperlahankan langkah. Tapi dalam kepala aku, kalau aku bagi beg ni pada dia, pun masih dia lagi laju. Dan, kami masih awal dari tentative. Maka aku cakap, kasi can je la aku pewai dan training. Dia pun setuju dan menjadi sweeper kumpulan. Sementara Leya menjadi guide kami. 

setelah 4 jam mendaki, kami tiba di persimpangan Bukit Bekelah dan Gunung Serudum. Di sini, Leya bertanya samada untuk ke Bukit Bekelah dulu atau nak proceed Gunung Serudum. Aku dengan pantas membalas “lunch dulu la wei. Lapar dah ni” hehe. Di persimpangan itu, kami pun menghadap makanan yang lauknya macam nak pergi angkat buah sawit. Walaupun makanan tu sedap dimasak Leya, namun terbeliak juga mata nak elak dari membazir. Paling kesian kat Anip sebab dia biasa tak makan banyak. Hehe. Selesai makan dan operasi menghalau nyamuk, perjalanan diputuskan untuk terus ke Kem Batu Merah. 

Beberapa minit dari persimpangan tadi, kami tiba di satu kawasan jari halus dengan resam yang bertanah rapuh. Dari kesayupan, boleh dianggarkan di hujung pemandangan adalah penghujung kolam 7. Dan disini kami berhenti seketika untuk selfie. Rugi tak selfie di sini. Sebab kemungkinan lagi 10 tahun, tempat ini habis terhakis dan jalur pendakian mungkin perlu diubah ke atas sikit. Selesai selfie dan nyalaan rokok kretek, perjalanan diteruskan lagi.

Seteleh beberapa lama berjalan, trek sudah mulai menurun sahaja. Disini, Leya memberitahu bahawa tapak perkhemahan sudah tidak jauh. Namun apakandaya, perut aku sudah tidak mampu menahan. Mereka telah aku pinta untuk bergerak ke hadapan sedikit sementara aku ingin melabuhkan simpanan hasil dalam perut di dalam lubang yang digali. Setelah beberapa masa, aku pun mula bergerak ke arah mereka. 
Walaupun tidak ramai rakan pendaki yang aku kenal memasuki kawasan Gunung Serudum ini, rentisnya seolah jelas dan nyata. Ya lah, setahu aku, ekspidisi yang ada pun sekadar 3-6 bulan lepas. Dan eskspidisi melawat tasiknya pun, 1 tahun yang lepas. Namun, setibanya aku disatu persimpangan, aku rasa hairan. Mengapa trek telah berubah dua. Dua-duanya mempunyai ciri yang sama. 
Dengan pantas aku melaung memanggil mereka dihadapan. Dan ianya dibalas comel dengan suara Leya di sebelah sini. Baru 3 langkah aku ke arah sini, terdengar pula laungan dari Anip dan Leya (juga) disebelah sana pula. Aku berhenti dan menyalakan rokok dulu. Nak gelabah pun tak guna. Aku ni, bukannya berilmu sangat. Lagi sekali aku laung, “ohoi. Korang mana oi. Sana ke sini?”. Dan laungan di sebelah sana lagi sekali dibalas “kitorang kat sini dek! Dah sampai dah ni kat kemsite!”. Dan dengan pantas, aku menutup trek ke sini. Mana la tahu, ianya mampu membantu.

setelah turun dari cerun dalam beberapa ketika, aku pun sudah nampak jelas jalur air. ya, merah! Setelah bertemu dengan mereka yang sedang menanti di gigi air, Leya membawa kami melintasi beberapa anak sungai dan selepas menaiki tangga yang dibuat oleh sahabat yang sebelum ini masuk, tibalah kami di tapak perkhemahan Batu Merah, sepertimana yang dicadangkan. Melihatkan jam, baru sahaja 3.30 petang. Jadi arahan diberi kepada Leya untuk membantu memasang setup perkhemahan, manakala Anip mencari kayu-kayu buruk untuk dikorbankan menjadi unggun. Melihatkan bekas-bekas tapak kaki dan najis fauna yang ada, seeloknya kami perasapkan sedikit sekeliling untuk dijadikan tanda.

Apabila tiba jam 4 petang, Leya diarahkan untuk mandi dahulu. Sementara aku dan Anip memperkemas kawasan tapak perkhemahan. Ianya didirikan ditepi kawasan buluh yang banyak daun kering. Campsite yand didirikan dah level banglow mewah. Padahal duduk bertiga je. Siap ada ruangkan khas untuk meletakkan beg. Hehe. Aku dan Anip pun membersihkan daun-daun radius tapak perkhemahan supaya mudah kelihatan akan fauna yang menjalar mahupun merangkak, khususnya yang kecil-kecil. Disebabkan Leya ni mampu menjadi jantan dalam hutan, pada jam 4.20, giliran kami pula untuk mandi manakala Leya mula bersilat di dapur. 
Ketika mandi, kelihatan sungai ini yang membentuk lidah bumi amat menenangkan. Terlalu tenang sehingga menggerunkan pun ada. Boleh tahan pengecut juga aku jadinya. Anip memang steady, sesuai dengan susuk sagak six pack dia. Mandi macam tak ada apa. Sempat juga menghabiskan sebatang rokok sambil menikmati susasana flora disekeliling yang jarang sangat disentuh manusia dan masih hampir asli. Selepas selesai, kami pun naik semula. Waktu ini, masih belum pukul 5. Dan Leya diarahkan untuk masak perlahan-lahan sedikit.

Kudap-kudap mula dibuka dan dimakan bersama air kopi yang padu. Sesi memasak diiringi dengan sesi membawang, bukon serta heart-to-heart. Kebetulan kami belum pernah ekspidisi bersama dan meluangkan masa banyak bersama, pelbagai soalan baik asas sehingga mendalam turut ditanya. Kepada Anip dan Leya, what happened in Serudum, stays at Serudum. Aumm

Tibalah waktu selepas maghrib dan makanan sudah siap dimasak. Dalam periuk dan kuali lauk, mengerikan bilangan lauknya. Kami mula makan perlahan-lahan sambil berbual. Kurangkan minum air sebab nak elak kenyang. Banyak sangat lauk ni. Kang kalau siap awal, apa je nak dibuat. Dan selepas siap makan malam, sesi mempersiapkan makanan sarapan dan tengahari diteruskan. Disilatkan oleh Leya, aku dan Anip sekadar baring ditepi ala orang kaya sambil berlipur lara. Ada sesi-sesi si Anip melihat semula tunjuk arah dalam log gps Garmin 64s beliau untuk mendapatkan gambaran perjalanan esok. Dan kurang lebih jam 9 malam, kami melabuhkan mimpi. Tutup dulu pintu fly kiri kanan. Kalau ada nak lalu, lalu lah. Tak mahu jengahan mereka menjadi bertentangan mata. Abam takuad!

Hari kedua dimulakan dengan santai dan malas. Selepas subuh, perlahan-lahan kami packing semula untuk bergerak ke puncak Serudum. Perjalanan ke puncak dimulakan dalam jam 7.30 pagi dan bertemakan santai. Ada juga beberapa simpang yang kami tersasar seketika kerana kekeliruan dari trek balak lama (yang tak lama mana). 
Tidak lama selepas melalui tangga yang dibuat Cik Man dan Khal (melalui penceritaan rakan) di satu tebing, kami menjadi sedikit gugup. Ini kerana trek sudah mula bersilang dan berpecah dua. Mungkin disebabkan jarak ekspidisi pertama dengan kedua haritu yang tidak jauh, perjalanan merentasi satu lembah menjadi kabur.namun, aku sebagai orang belakang terus membuat tanda-tanda kehadiran untuk memudahkan perjalanan turun. Selepas melepasi lembah ini, perjalanan ke puncak Gunung Serudum menjadi sedikit mudah. 

Pada jam 11.30 pagi, kami tiba di puncak Gunung Serudum. Disebabkan sekadar bertiga dan memang bersantai dari awal, kami memutuskan untuk makan set Lunch Pack di tasik. Selesai menghabiskan 2 batang rokok, perjalanan diteruskan ke arah tasik Serudum (aku tak tahu apa nama tasik ni, aku hembus je nama dia Tasik Serudum sebab kalau aku cakap nama ni, mereka tahu maksudku).

Perjalanan menuruni Gunung Serudum ke arah Tasik Serudum diperlahankan kerana penceritaan group Eddy dan Topeng yang terkena serangan penyengat tidak lama sebelum ekspidisi ini. Pada ekspidisi mereka, mereka terpaksa membatalkan niat ke tasik kerana di-inject oleh penyengat yang bukan main ramai. Jadi, kami bertiga memutuskan untuk perlahan-lahan turun. 

Setelah sejam turun, Anip makin terbelek-belek GPS. Namun aku biarkan sebab memang tugas dia sebagai navigator untuk mencari arah. Asalkan tidak sesat, perlahan pun tidak mengapa. Dan pada masa yang sama, aku sedang menikmati bunyian air dari sebelah arah dan bunyian serangga dari arah lagi satu. Gemersik daun disebabkan urutan angin juga telah menambahkan kegembiraan dalam pengamatan. 
Secara tiba-tiba Anip berhenti seraya berkata “kita dah dekat dah ni dengan tasik. Tapi mana eh?”. Seiringan dengan soalan ini, mata aku secara kebetulan sedang mengamati sesuatu yang pelik melalui firasat. Berkilat kilau beralun. Dalam kekeliruan dan pemikiran, tangan aku menunjukkan kea rah itu dan mulut berkata “tu tasik!”. 

Anip dan Leya terus memerhatikan ke arah telunjuk dan masih aku ingat Leya seolah menjerit “Alhamdulillah!”. Kami bertiga bagai secara tiba-tiba hilang akal. Masing-masing terus menuruni cerun itu dengan teknik ‘tembak tegak’. Dia jalan dia, aku jalan aku. Kenapa jadi begitu pun tak pasti. Dan tidak lama selepas itu, kami pun tiba di gigi air Tasik berkenaan. 

Anip cuba kearah sana manakala Leya ke arah sini untuk mencari port. Dan didapati, port Anip lagi selesa untuk kami melabuhkan barang dan makan tengahari. Sambil makan lunchpack yang disediakan, masih jelas dalam ingatan masing-masing puas setelah tiba di Tasik ini. Besar juga dalam memori aku. Panjang dalam 100 meter lebih, dan lebar dalam 50 meter. Dan didalamnya, terdapat pokok-pokok / kayu tenggelam. Niat di hati, nak berenang dalam tasik ni. Namun, disebabkan tidak membawa peralatan bersesuaian dan kebetulan Leya dan Anip tiada kemahiran menyelamat, aku bantutkan idea gila. Memadai sudah untuk mempunyai pengalaman melihat tasik (buatan rasanya) yang pada ketinggian 800mdpl. Naik gunung sebab nak tengok tasik, kau hado?

Ibarat musang dapat makanan, baru je makan, nak kena membuaang dah. Aku bergerak sementara Leya dan Anip meneruskan agenda santapan. Aku bergerak kea rah bunyi air untuk mendapatkan port yang selesa. Namun disini, kelihatan ada satu aliran air seolah parit yang panjangnya sekali pandang dalam 20 meter menghala entah kemana. Dan tujuan dia, ada ternampak pula beberapa batang pokok pine. Aku tak mampu berfikir lebih ketika ini dan memproses apa yang aku nampak kerana ada urusan lebih penting yang harus dilunaskan. 

Sekembalinya aku kepada tempat Leya dan Anip, aku pun menceritakan apa yang aku lihat kepada mereka untuk pemahaman lokasi sumber air dan tandas memandangkan menjelang zohor. dan juga yang kebetulan ada port baik untuk kami solat, baring dan layan suasana. Setelah selesai solat, masing-masing dengan senyuman melabuhkan kepala ke atas tanah yang sedikit berjauhan dari najis dan tapak gajah. Jam menunjukkan waktu baru pukul 2. Sambil berbual-bual, tanpa disedari, kami bertiga telah terlelap. 

Tiba-tiba aku rasa sejuk sedikit. Aku bukakan mata, jam dah menunjukkan pukul 4. Dan langit dari seberang sana yang gelap sedang menghampiri dengan jalur-jalur hitam halus. Hujan dah dekat! Pantas Anip dan Leya packing barang untuk balik. Baru sahaja mereka selangkah, aku terus cakap “rilek la. Laju-laju pun kena hujan juga. Jom enjoy tengok hujan datang!”. Sambil tergelak, mereka pun datang ke tempat aku yang berhampiran dengan air dan kami sempat berselfie dulu. Setelah beberapa mini t bergambar, boleh nampak air hujan mula rintik dihujung tasik. Peralatan eletronik pantas disimpan kembali dan parang disisip rapi. Kami lihatkan hujan itu datang melalui kocakan di atas permukaan tasi. Sedikit. Sedikti. Dan tiba sudah. Setelah kami mula basah, kami memulakan perjalanan pulang. 

Di jari mendaki ke puncak Gunung Serudum ada berlaku sedikit hal kelakar. Disebabkan masa turun tadi kami tak pakai akal untuk bersama, maka rentis mendaki adalah tidak jelas. Dan malas fikir punya pasal, Anip terus buat tembakan tegak ke arah jari. Makan kau pacak dia mencakop! Tapi sambil mendaki, mungkin disebabkan kepuasan melawat tasik, kami sekadar tersenyum dan ketaw kecil melayan.

Perjalanan pulang kami Alhamdulillah tidak semencabar perjalanan pergi. Dan kebetulan hari hujan, kami jadi tak banyak berbual dan kelajuan langkah dinormalkan. (masing-masing berlatih bersungguh untuk Gunung Tahan Merapuh-Kuala, maka ‘normal’ pada saat itu adalah berbeza).Kami tiba semula di simpang balak menuju ke tapak perkhemahan lebih kurang jam 5.40 petang. Dengan sengaja kami berhenti seketika sebatang dua rokok dan menghabiskan ration kudap-kudap hari ke dua. Sambil itu, kami membuat beberapa sesi photoshoot. Disini, dengan keadaan balak melintangnya, memang rugi kalau tidak bergambar. Tapi tu lah dia kekangan bertiga. Susah nak bergambar. Terpaksa selfie je banyak. Hehe. Kurang lebih jam 6.45 kami tiba semula di tapak perkhemahan. Seperti biasa, Leya mempersiapkan diri dahulu manakala aku dan Anip membersihkan tapak perkhemahan dan memasang api untuk tujuan asap. 

Dimalam terakhir, masing-masing senyum kepuasan tak terhingga. Sambil masak makanan dengna lauk yang banyak, kami menyambung sesi berbual dari hati ke hati. Makin bergerak masa, perbualan makin sensitive. Ewah! What happened in Serudum, stays at Serudum! Haha. Dan selepas siap segalanya, lebih kurang jam 10 malam kami melabuhkan mata dengan senyuman tak henti. 

Di hari ketiga, kami bersiap sedikit lambat. Ini kerana masing-masing sudah dapat baca pace diri dan kami berjanji dengan Abang Lori untuk ambil kami jam 5 petang. Kalau gerak terlalu awal, bosan pula menanti. Kami mula bergerak jam 9 pagi dari tapak perkhemahan Batu Merah setelah selesai mengemas , mematikan api dan membersihkan tapak perkhemahan sepertimana sediakala kami datang semalam. 

Selepas beberapa jam perjalanan, kami meletakkan beg di persimpangan Serudum dan Bukit Bekelah. Di sini, kami hanya bawa peralatan asas dan makanan Lunch pack. Di puncak Bukit Berkelah, lagi sekali kami dihidangkan dengan view yang ada-tiada. Kerana dihalang oleh pokok-pokok. Dengan bersandarkan Beirutnya yang runtuh, kami menyantap makanan tengahari masakan Leya dengan lauk yang kaya-raya. Dan kami tiba semula ke beg kami dengan waktu dijam menunjukkan jam 11 tengahari. 

Perjalanan turun ke Kolam 7 tidak terasa sangat kerana beban didalam beg yang sudah banyak berkurangan. Beg aku pun sudah tidak se-full load semasa pergi. Hilang sudah semua beras, ikan, daging, sayur dan mayor yang ada. Kami tiba di Kolam 7 dalam lebih kurang pukul 1.30 tengahari. Bapak panas matahari mengigit otak! Tak mampu nak tiruk di kolam 7. Sempat perasan ada orang bawa beg guni Bagak masa ni. Terkejut la juga, tak tahu ada program #pickitup. Tapi bila dijengah di bawah fly, tak kenal pula orang-orang yang sedang tidur. Bila dipandang ke kolam 7, ada beberapa yang pandang aku pelik, dengan segan, aku terus cabut turun. kami sekadar turun dan berendam di Kolam 6 dan aku telefon Abang Lori menyatakan lokasi dan memberi pengesahan masa sepertimana perjanjian asal. 

Menuruni Air terjun Bekelah kami sekadar pakai pace santai. Masa banyak terbuang dikalam sampan sahaja. Keinginan untuk tiruk berkurangan kerana hari yang panas di kolam 4. Di kolam 2/sampan, kami berendam sehingga jam 4.30 petang dan tepat jam 5, kami tiba di pintu masuk air terjun Bekelah dan disambut Abang Lori tadi. 

Di luar, kami berjumpa dengan group Topeng yang baru habis ke Jerangkang. Sesi bersama diteruskan sehinggalah habis Maghrib bersama group Topeng. Selesai bersiap dan habis waktu Maghrib, kami pun berpisah dengan group lagi satu. Dalam kereta, masing-masing nampak gembira selepas selamat keluar. 

Sempat kami buat timbang semula (post-mortem)akan ekspidisi kami. Antara benda yang tidak sepatutnya berlaku adalah kami bergerak dalam kumpulan yang terlalu kecil (3 orang) yang boleh menyukarkan pergerakan apabila berlaku sesuatu/kemalangan waimah kecil. Lokasi yang dituju adalah terlalu dalam bagi pendaki biasa, bahkan tak ramai pun pendaki yang tahu lokasi atau pernah menjejaki kemana kami pergi. Dan kesalahan kedua yang kami lakukan adalah tidak melakukan laporan terhadap badan berkuasa tempatan (polis dan jabatan hutan). Ini terjadi apabila kami terlalu ghairah dengan ekspidisi sehingga mengabaikan SOP sebenar. Dan tak sepatutnya kami menakik pokok sekadar untuk bergambar sepertimana dalam gambar ini. Benda tak kacau hidup kita, buat apa kita menganggu mereka?

Sekembalinya dari Serudum ni, apa yang aku tahu, aku dah tak buat dah kesilapan macam ni lagi. Kemana aku pergi, akan memastikan bahawa mempunyai ahli ekspidisi sekurangnya 4 orang dan sentiasa akan membuat laporan dan pembayaran permit kepada pihak berkuasa tempatan. Dan kalau boleh, sentiasa kami minimakan kesan jejakan manusia ketika mendaki gunung. Alhamdulillah, kami tidak tehantuk baru nak tengadah. Kalau ada pihak berkuasa yang membaca, saya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan-kesilapan ini. Adeh ampunnn

Nota kaki: penceritaan dan isi telah diubah sedikit dari situasi sebenar untuk memperbaiki elemen-elemen jalan cerita dan isinya. Yang mana baik , jadikan pedoman. dan yang mana salah, jadikan sempadan. YTTL

OUT

One thought on “Bertiga di Tasik Gunung Serudum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *